Monday, November 9, 2015

Novel terbitan alaf21 November 2015



Tajuk: SUNAN CINTA NAN SAKTI 
Penulis: RAMLEE AWANG MURSHID
Terbitan: Alaf 21

Sinopsis:
CINTA menuntut seluruh pengertian. Saifudin dan Ratna Sang Ratu Sulaman menyulam cinta dalam kancah pertempuran, permusuhan dan perjuangan. Cinta – tidak terlafaz dalam lisan. Hanya suara hati yang melagukannya biar dilandai krisis paling parah. Cinta – bakal diakhiri dengan peperangan. Mengorbankan insan tersayang. Apakah semua ini mahar untuk sebuah pernikahan? 



Wali Sufi – melarang cinta Saifudin dan Ratna Sang Ratu Sulaman atas alasan yang berbeza. Cintai Penciptamu terlebih dahulu nescaya cinta fitrah suci bakal dikurnia-NYA. 

Maharani - menegah cinta Sang Ratu atas sebab... cinta itu melumpuhkan sifat serikandi seorang pejuang.



“Aku akan kembali mendapatkanmu, Saifudin. Akan kuhancurkan kau dalam gumpalan tanah negerimu sendiri. Akan aku pastikan kuburanmu tidak bertanda. Akan kupastikan kematianmu tidak diratapi... apatah lagi untuk dikenang. Seluruh marga negerimu akan kuseksa. Kujadikan negerimu sebuah neraka dunia!” - Ratna Sang Ratu Sulaman.



“Sebagai manusia... aku sayang padamu.” 

Saifudin dengan gelar Laksamana Sunan.



Dalam kancah peperangan dan permusuhan yang sedang rancak bergolak, maka...

Di sinilah... lahirnya seorang legenda. 

Di sini jugalah zahirnya sebuah cinta.



RAMLEE AWANG MURSHID mengekalkan rentak cinta dan aksi dalam alur cerita karyanya kali ini. Nanggroe Sang Kembara menempuhi banyak gendala dalam perjalanan meraih Cinta Nan Sakti. Perjuangan tidak mengenal erti lelah biarpun hampir tewas. Kebangkitan merupakan kemuncak sebuah hakikat dalam layar sebuah hikayat.

Tajuk: LANGIT CINTA
Penulis: DAMYA HANNA
Terbitan: Alaf 21

Sinopsis:
Kedatangan Aliff Zulkarnain, pewaris Samudera Holdings ke pulau itu telah mengubah hidup Khadeja. Pertama kali bertentang mata, dia merasakan suatu perasaan yang meresap ke sanubarinya. 



Keikhlasan dan kesungguhan Aliff berjaya melembutkan jiwa kental Khadeja. Dia diperisterikan walaupun MENDAPATtentangan hebat daripada keluarga lelaki itu. Namun, ada hati yang terluka. Cinta luhur Budiman untuk Khadeja serta kasih Dr. Suzana untuk Aliff, terus menjadi rahsia.



Tidak disangka, kebahagiaan Aliff dan Khadeja sekejap cuma. Khadeja diduga apabila Aliff tidak kembali selepas pulang ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga. Pemergian Aliff menjadi tanda tanya.



Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters