Monday, November 9, 2015

Novel terbitan alaf21 October 2015

Tajuk: Nota Cinta Origami
Penulis: Ruby Hazri
Terbitan: alaf 21

Sinopsis:
Saera nekad menjadi jururawat peribadi kepada Aunty Rosnah; ibu Faris yang sedang koma. Sebenarnya tidaklah sesukar mana pun menjadi jururawat peribadi di rumah agam itu. Namun, sikap Faris yang penuh syak wasangka dan sering mendesaknya membuatkan hidup dia haru-biru.

Kedatangan Mia Sara, anak kecil Faris dan kepulangan Zafran ke tanah air, mula mengubah tanggapan Faris terhadap Saera. Namun, sifat cengilnya tetap menyukarkan Saera. Berlandaskan alasan khuatir Zafran dikecewakan lagi, Faris mula tidak menyenangi hubungan baik antara Saera dan Zafran. 

“Saya cuma minta awak jangan main-mainkan perasaan Zafran. Awak tahu kan dia pernah dikecewakan dulu,” ingati Faris kepada Saera.

Sifat waspada Faris terhadap Saera mula berubah sehinggakan dia sendiri tidak mampu mentaksir perasaan sendiri. Apatah lagi tatkala melihatkan keakraban anaknya, Mia Sara bersama Saera. 

Hati yang keras mula mencair. Taman yang sepi, kini kembali berbunga. Tapi, mengapa semakin dekat Faris menghampiri, semakin jauh Saera pergi?


Tajuk: Aku Alergik Cinta
Penulis: Ilyana Hani
Terbitan: Alaf 21

Sinopsis: 
Aifa Nabila – Si gadis yang sudah alergik dengan cinta dan lelaki. Selepas dikhianati gara-gara tunangnya bermain kayu tiga, dia benci lelaki. Cinta? Memang taklah! 

Ikmal Hakimi – Lelaki yang menjadi mangsa gaduh Aifa. Baru pertama kali berjumpa, gadis itu sudah memulakan drama sebabak. Gadis singa yang ayu katanya.
Siapa sangka, pertemuan itu bukanlah pertemuan pertama dan terakhir mereka. Mereka bukan sekadar berjiran, tetapi juga berkongsi tempat kerja yang sama. Sejak itulah bermulanya kisah ‘minah gengster vs mamat sengal’. Hari-hari mereka bercakaran, langsung tidak mengenal erti jemu. 

Akhirnya, musuh ketat bertukar menjadi pasangan kekasih. Cinta datang lagi! Bahagia rasanya apabila dia kembali menyulam erti cinta. Tetapi, kehadiran Aleesya yang memperkenalkan dirinya sebagai tunang Hakimi benar-benar meremukkan jiwa Aifa. Ah, lelaki sama sahaja! Langsung tidak boleh dipercayai. 

Hakimi datang memujuknya. Perlukah dia memaafkan lelaki yang sudah menghancurkan hatinya itu?


Tajuk: Jangan Percaya!
Penulis: Syaida Ilmuna
Terbitan: Alaf 21

Sinopsis:
PERTEMUAN pertama Bella Amira dan Kaylina sudah cukup membuatkan hatinya diasak seribu macam rasa. Saat tangan mereka bertaut, imbasan hitam putih mula menerjah ke minda Bella. Senyuman seorang wanita berbibir nipis hadir dan kelihatan sebilah pisau tajam bergerigi di tangannya. Pisau itu berlumuran darah! 

“Bella Amira!” Rizqi cuba membawanya ke alam nyata.

Semenjak itu, kehidupan Bella tidak lagi serupa. Isteri baru bekas suaminya itu menyimpan seribu satu macam ulah dan suka bermuka-muka. Bermula dengan kematian anak sulungnya, Bella tahu Kaylina ada perkaitannya. 

Namun begitu, siapa yang percayakan kata-katanya? Kaylina yang lebih manja digelar Kay itu seorang wanita yang lemah lembut, pandai memasak dan sayangkan kanak-kanak. Di hadapan Rizqi, pijak semut pun tak mati. Di belakangnya, anak-anak Bella menggelar dia raksasa maha jahat!

Bella pula sering ditimpa mimpi buruk semenjak mengenali wanita itu. Siapa Kaylina sebenarnya? Mampukah Bella membuatkant mereka percaya yang Kay bukanlah seperti yang mereka sangkakan? Jangan sampai nanti mereka semua mati dalam keadaan tidak percaya, sudahlah!


Tajuk: DEJAVU CINTA
Penulis: Emma Maizura
Terbitan: Alaf 21

Sinopsis: 
“Saya tak percaya! Kalau benar dia dah mati, mana buktinya! Kenapa saya tak dibenarkan tengok mayat dia? Kenapa pihak polis macam teragak-agak nak sahkan identitinya?”

Tiga tahun Ridwan hidup dalam ilusi. Beranggapan isterinya masih hidup sedangkan isterinya telah meninggal dunia dalam suatu kemalangan ngeri. Dia semakin panasaran saat bertemu dengan gadis bernama DD yang mirip wajah isterinya, Dian Daliya. Beria-ia dia menyatakan DD adalah isterinya. Lekuk lesung pipit di kedua-dua belah pipi dan tahi lalat di pipi kanan dijadikan bukti. Dia separuh gila mengejar DD.

DD menganggap Ridwan gila. Dia jadi takut dengan perangai Ridwan. Puas dinafikan, namun Ridwan tetap tidak percaya. Dia jadi fobia dikejar oleh bayangan cinta Ridwan.

Bila Ridwan tetap bertegas menyatakan yang DD isterinya, dia jadi keliru. Betulkah dia isteri Ridwan sedangkan dia sudah bertunang dengan Dazrin?



Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters