Saturday, November 8, 2014

Novel terbitan intens idea bulan February 2012



Matahari Cerah Lagi ~ Fauziah Ashari

Suha menempuh kehidupan terpencil berbanding rakan seusia. Dikongkong oleh Saidah yang diamanahkan menjaganya demi melampiaskan tamak haloba ke atas harta pusaka. Kongkongan menjadikan dia dewasa keseorangan, terabai daripada segala-galanya, dinafikan pendidikan malah lebih memilukan dia tidak dapat mengatur masa hadapannya lalu dipaksa menerima kehadiran Yem.

Namun, naluri semula jadi mengatasi kekangan psikologi, tetap mengambil tempatnya tatkala dia bertemu Munir, lelaki separuh abad yang membawa sinar secerah matahari pagi. Tetapi malangnya, Munir dirundung tekanan jiwa yang amat parah. Berdendam dengan anaknya sendiri, Adam yang membesar bersamanya di samping tiga anak yang lain. Akhirnya Munir tekad menyunting Suha dek kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Adakah Suha terus nestapa? 
Mengapa Adam menjadi mangsa dendam?
Dan... 
Mampukan Yem menggapai cintanya?

Matahari Cerah Lagi membuka tabir, seorang gadis terabai hidupnya namun tetap mendambakan cinta... Suha.
Matahari Cerah Lagi menzahirkan cinta yang tidak sewajarnya wujud... Adam.
Matahari Cerah Lagi mengupas perspektif cinta yang telus... Yem.
Matahari Cerah Lagi menelusuri psikologi seorang yang kehilangan cinta... Munir.


Cinta... Tiada Akhirnya ~ Fauziah Ashari

Rentetan perkahwinan rahsia antara Izzah dan Hariz di 'Ombak Rindu' dipanjangkan lagi di dalam 'Cinta...Tiada Akhirnya'.

Kehidupan menjanjikan segalanya. Pahit, manis suka dan duka. Satu perjalanan anugerah dari Maha Pencipta yang menjanjikan kematian dalam kembara kehidupan. Bagi kaki yang melangkah dan tangan yang menadah, terpulang pada insan itu sendiri mencorak hidupnya.

Inilah kisah...CINTA...TIADA AKHIRNYA, menyelami Izzah yang setia, hampir sempurna, menyajikan cinta pada suaminya, Hariz yang masih mencari diri dan cinta sejati. Disulami detik cemas yang pasti mencorak minda, mendebarkan jiwa,CINTA...TIADA AKHIRNYA akan menyerapi kehidupan setiap pembaca.


Rindu Cintaku ~ Fauziah Ashari

Izzah tercari-cari ketika dirinya hilang ingatan. Mimpi-mimpi ngeri tentang suaminya berkunjung datang dalam kotak minda menambah kekeliruan, menjadikan dia kedinginan dalam cinta Hariz yang sentiasa membara. Izzah pulih saat konflik memuncak dan dia tak berdaya untuk menggalas beban yang membelenggu hati bila cinta suami ditagih insan lain walau maruah menjadi taruhan.

Hariz yang keresahan terus dilanda tsunami permasalahan. Neraca karma beralun ganas melibas keegoanya. Hariz hilang punca, hilang kuasa dan hilang Izzah. Namun, membuang cintanya pada isteri tercinta tidak pernah wujud dihatinya walau dalam keterpaksaan.

Andainya mampu ditebus kesilapan, apakah harga yang perlu dilunaskan? Rumahtangga? Cinta tak kesampaian? Kesetiaan? Maruah? atau ...nyawa?


Kan Kukejar Cinta Kamu ~ Fauziah Ashari

Alma binti Datuk Seri Hakim - Penggoda, nakal, selamba, romantis, anak manja papa.

Mukramin Raiyan bin Muzzammil - Lemah iman, cucu kesayangan, harapan abah, hilang identiti, keliru.

Daya tarikan Alma - Berani tanpa peduli orang. Lucu tanpa sedar (selamba) dan cantik di mata Raiyan.

Daya tarikan Raiyan - Tampan di mata Alma. Anak musuh papanya. Pelik, kenapa perlu berhati-hati dengan keturunan Datuk Raqib sedangkan Raiyan ‘okey’ aje...

Mereka bertemu ketika sama-sama belajar di luar negara. Dua tahun berkenalan mengukuhkan cinta mereka. Kerana cinta, mereka lupa segala sengketa keluarga. Kerana cinta, mereka lupa pesan papa dan abah mereka. Kerana cinta mereka berkahwin secara senyap sebelum tiga bulan kembalinya ke tanah air.

Sehari selepas berada di tanah air, Raiyan kemalangan hingga menyebabkan dia kehilangan identiti diri dan keliru sentiasa. Alma hilang arah. Papa pernah berpesan, “Jangan dekati keluarga Datuk Raqib (datuk Raiyan). Nek Bonda (nenek Raiyan) ada mengugut. “Sekali kau dekat dengan Raiyan, berkali-kali kau akan kecewa.” Raiyan juga pernah berpesan, mereka mesti sama-sama hadapi halangan keluarga. Jika sendirian, boleh karam. Ada makna pesan suaminya. Rupanya, Nek Bonda ala-ala Hitler!

Alma atur strategi. Tanpa dedahkan statusnya sebagai isteri, (tapi Nek Bonda tahu statusnya) dia buru dan dekati Raiyan dalam senyap. Dia langgar perintah papanya dalam diam. Dia ingkar amaran Nek Bonda demi cinta dan rindunya. Jika terang-terangan menjatuhkan ego dan maruah papa. Jika berterus-terang, hidup keluarganya terancam. Dan, tak mustahil Raiyan yang keliru terus lari!

Hisy! aku nak kena mulakan, ke? Hmm...buat muka selenge. Eh! tak ke nanti dia kata aku perempuan jahat, ya lah cuba goda dia. Eh...eh...nanti dulu, yang aku goda bukan ke laki aku? Apa pulak aku jahat, kan? Jadi perempuan baik? Lemah-lembut, sopan-santun? Lagi boson kot. Argh! tak boleh jadi ni! - Alma

You ni cantik. Buat I tergoda selalu. Tapi sayang, macam-macam perangai, buat I tergolek, pening tau. - Raiyan.

“Perkahwinan ni rupanya memang betul-betul kesilapan. I harap sangat bukan kesilapan.” Itulah ayat Raiyan, kunci keyakinan Alma. Dia redah lagi onak dan duri demi mengembalikan bahagia dua tahun tiga bulan mereka bersama, bercinta dan berkahwin ketika di Ireland tanpa kelibat Dilaila, Huzail, Qistina, Zack, papa, abah dan Nek Bonda si Hitler...


Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters