Monday, November 9, 2015

Novel terbitan buku prima mei 2015



Tajuk: ‘LASER’NYA MULUT DIA
Penulis: Rabihah Nur Ridhuan
Terbitan: Buku Prima

SINOPSIS
Kesilapan lampau yang dilakukannya membuatkan Tan Sri Hasan hidup dalam penyesalan. Kerana kesilapan lampau juga menyebabkan Tan Sri Hasan meminang Amir Rifqi untuk anak gadisnya, Ayris Imani.

Amir Rifqi terkedu menerima pinangan itu. Apatah lagi dia tidak dapat menerima ketuanya yang berwajah ketat, kasar, cakap seperti tertelan speaker dan macam singa betina itu dijadikan isterinya. Mimpi ngerinya menjadi kenyataan apabila dia akhirnya berkahwin juga dengan ketuanya itu.

Namun, baru sahaja Amir Rifqi mahu mengecap bulan madu, kisah lampau mula tersingkap kembali. Bulan madunya menjadi racun. Amir Rifqi mendendami Tan Sri Hasan. Dia juga membenci Ayris Imani. Bagaimanakah kehidupan Ayris Imani setelah dibenci oleh suaminya sendiri? Bolehkah Tan Sri Hasan mendapat pengampunan daripada Amir Rifqi? 

Tajuk: CINTA SEMANIS ‘CARROT CAKE’
Penulis: Fatinilam Sari
Terbitan: Buku Prima

Orang sudah benci, namun kenapa hati masih mengharap?


Benarkah gadis cantik bernasib malang? Irina dicintai bosnya, Firdaus yang sudah mempunyai kekasih. Irina mengambil keputusan menerima jemputan ayahnya yang sudah lama bermastautin di Switzerland. Tetapi perjalanan Irina untuk bertemu dengan ayahnya tidak semulus yang disangka. Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Zurich, dia diculik. Irina terperangkap dalam genggaman penculiknya, Steve yang membawa Irina ke rumah Bram untuk disembunyikan. Bram mempunyai satu rahsia yang tidak diketahui Irina. Namun dalam diam mereka saling jatuh cinta.



Cinta yang kian berkembang dalam hati Bram membuatkan lelaki itu mulai memikirkan masa hadapan lalu menerima peluang kerja di Bern. Di Bern, Irina bertemu dengan Yazid. Persahabatan menjadi erat lantaran rasa persaudaraan sebangsa dan seagama. Permusuhan, kebencian dan dendam Bram pada Abu Bakar atau Thomas Burns menghancurkan hubungan cinta dan kasih sayang. Irina kembali ke Malaysia bersama hati luka. Lalu Firdaus datang membawa penawar luka dan duka Irina. Siapakah yang menjadi pilihan antara tiga jejaka yang telah mengisi hati Irina?



“Salah! Aku yang lebih dulu belajar menyayangi kau. Tak! Bukan belajar tapi aku terus saja mencintai kau sebab kau seorang yang kacak, jujur dan baik hati. Kau menjaga aku seperti aku ni kristal yang mudah pecah. Kau menyayangi aku lebih daripada menyayangi diri sendiri.” - Irina



“Aku sanggup lakukan apa aje demi cinta aku pada kau, Irina. Aku mencintai kau sampai mati. Aku mencintai sepenuh hatiku. Apa jua halangan akan aku hadapi asalkan kau bersamaku.” – Bram.



“Kalau awak sayang dan cintakan Bram, awak pilihlah dia.” –Yazid 


Tajuk: JANGAN BIAR DIA MASUK
Penulis: A.Darwisy
Terbitan: Buku Prima

Sembilan keturunan syaitan, dia salah seorang mewarisinya...


Laqqus, keturunan syaitan yang tugasnya menghasut manusia agar mensyirikkan ALLAH. Apa yang dialami keluarga Anje dan Adika, adalah permainan halus syaitan ini. Daripada benih pasangan suami isteri inilah, lahir tiga zuriat yang mana salah seorangnya berjaya digelapkan imannya. Bermacam kerosakan telah dilakukan hingga Kampung Tenung Bulan tidak lagi aman damai. Khurafat bermaharajalela. Amalan ilmu hitam bertuan dihidupkan.



Maya, gadis Kuala Lumpur yang tidak tahu tentang asal usul keturunannya menjadi mangsa. Dia dan kawan-kawannya, Defi, Suraya, Laila dan Rafidah, dihantui dengan satu per satu siri kejadian aneh dan menyeramkan. Hinggalah salah seorang daripada mereka dirogol dan dibunuh dengan sadis bagi menyempurnakan amalan ilmu hitam itu. Mereka ketakutan.



Datang Haris sebagai penyelamat. Datang Inspektor Intan cuba membantu. Tetapi, mereka tidak sedar satu perkara. Permainan syaitan itu cukup licik dan mengelirukan!



Berjayakah lima sekawan merungkai kisah di sebalik yang berlaku? Apa pula kaitan mereka dengan Anje dan Adika? Kampung Tenung Bulan, apakah misterinya?



“Sebelum tu, kami terdengar satu bunyi aneh. Bunyi muzik gamelan. Entah dari mana. Tiba-tiba kau pulak seperti dirasuk sesuatu. Kau menari...” – Maya



“Selang satu keturunan, pasti ada pertemuan dan kematian!” – Ambarsari



“Dengan manusia, kita lawan dengan kudrat. Dengan syaitan, kita tentang dengan ayat-ayat suci al-Quran.” 



Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters