Thursday, October 10, 2013

TERBITAN FAJAR PAKEER MAC 2013



SUPERBIKE ITU CINTA 

“Kau gila ke apa nak suruh aku jadi suami kau?”
“Jadi suami olok-oloklah, pekak.”
“Suami olok-olok kepala otak kau. Habis tu, kalau dah nikah tu apa namanya?”

Apabila melihat si penunggang Superbike berwarna hijau itu, pasti tiada siapa yang menyangka pemiliknya adalah seorang gadis. Gadis berambut pendek yang kasar, ego dan pantang dicabar itu hidup dalam dunianya sendiri. Jika gadis sinonim dengan keayuan, AD dengan motosikal berwarna hijau itu.

Lain pula ceritanya dengan Wafi Azrel Shah, lelaki biasa namun punya karisma. Dia penuh cita rasa dan prinsip dalam mencari permaisuri hidup. Dia sudah menetapkan ciri-ciri yang dia kehendaki. Dia yakin gadis manja, lemah lembut dan penuh dengan keayuan seperti Nadhira adalah pilhan hatinya.

Kerana Superbika, AD bertemu Wafi. Pertemuan empat mata untuk pertama kalinya sudah cukup untuk mewujudkankan rasa benci antara mereka berdua. Sejak pertemuan itu lagi Wafi dan AD melancarkan perang dunia ketiga. Mati hidup semula sekalipun Wafi tidak akan memandang gadis seperti AD. Ya, tidak mungkin!

“Gila! Kau ni memang gila, kan? Kau tengok jam tu pukul berapa sekarang? Pukul 10.30 malam. Kau ingat pengantin baru ada ke nak keluar rumah waktu macam ni?”
“Argh! Kau ni memang sengallah. Kan aku cakap, tak ada apa-apa perubahan lepas aku dengan kau kahwin. Kau ni bodoh ke?”

Siapa menyangka, takdir Tuhan telah mengikat AD dan Wafi dalam ikatan yang sah. Jika pasangan yang lain berkahwin kerana cinta, tetapi Wafi dan AD atas dasar kebencian. Kerana rasa benci mereka setuju untuk menjadi suami dan isteri. 

Ini namanya kerja gila. Ingat kahwin ni macam main masak-masak ke?

Akan tetapi, semakin hari Wafi mengenali AD, ternyata gadis berimej lelaki itu berbeza. AD seperti menyimpan rahsia besar dalam hidupnya. Seolah-olah cuba menyembunyikan lipatan sejarah hidupnya daripada pengetahuan orang lain. Apakah yang berlaku sebenarnya? Adakah benar ada rahsia yang cuba disembunyikan oleh AD? Benci, bolehkah bertukar menjadi sesuatu yang indah?

*****

PENGAWAL CINTA PERIBADI

Rakaman pembunuhan orang tuanya sampai ke tangan Alan. Adik perempuannya ditawan oleh pembunuh terbabit sebagai cara untuk mengumpannya keluar. Lantas, Alan Jon Fatah muncul semula walaupun dia sudah dianggap mati oleh media dan keluarga.

Dengan kemahiran yang dipelajarinya dia berjaya menyelamatkan Iris. Alan berhubung dengan Mazni yang berhubungan rapat dengan Iris. Melalui bantuan Mazni dia berjaya membuat rancangan untuk menjaga adiknya sehingga semua urusannya selesai tetapi terpaksa menyembunyikan identitinya sebagai Alan Jon Fatah dan hanya menggunakan nama samaran Maksim Vlad demi untuk keselamatan Iris. Semuanya berpunca daripada dendam Bernardo.

“Tiada jalan keluar selain memburu dia. Aku yakin lelaki itu Alan. Sekarang ni, jangan harap dengan kedua-dua belah tangan kau. Sepasang kaki sempurna pun belum tentu akan menolong kita melarikan diri daripada Alan!”

Hanya Iris yang mengetahui siapa Maksim sebenarnya. Walaupun dia tidak berkenan siapa abangnya yang baru muncul itu, tetapi dia meyakini bahawa mereka berdua tidak akan berpisah lagi. Satu perkara yang sangat mengejutkan Alan berkenaan Iris, adiknya itu mempunyai kemahiran luar biasa. Dia mampu membaca minda seseorang! 

“Dia abang kandung saya yang hilang 19 tahun yang lalu. Dia datang ke sini semata-mata hanya untuk melindungi saya.” - Iris Jon Fatah

Kehadiran Indra dalam hidup Iris sangat menyenangkan hatinya. Lelaki yang berperwatakan mesra itu merapati Iris secara diam-diam. Bermain sayang dalam renungan, berlagu cinta dalam pandangan. Iris jatuh cinta. Namun, siapakah Indra yang sebenarnya? Lelaki yang akan menjadi pengawal cintanya atau pemusnah sayangnya?

*****

DIA PENGANTINKU

Aimi Najwa seorang gadis cantik keturunan Belanda, namun amat payah untuk mencari jodoh. Baginya, kerjayanya lebih penting daripada memikir soal jodoh. Apatah lagi dia bukannya gadis yang pandai memasak!

“Awak ni buta ke?! Tak nampak ke saya tengah jalan ni?” 

Jiwa Aimi Najwa bergolak tidak tentu arah. Mengapa lelaki yang pernah menjadi mangsa tengkingannya adalah anak majikannya sendiri? Dan dia juga lelaki yang menyambutnya ketika mahu jatuh pada karnival pengantin, yang dimarahinya kerana melanggarnya ketika keluar dari lif? 

Entah di mana harus disorok wajahny. Namun, Aimi Najwa harus bersabar menghadapinya. Yang penting rahsianya tidak diketahui teman sepejabatnya. Namun telinganya berdesing sebaik terdengar suara gemeresik Syed Ashraf memanggilnya ‘Cik Pengantin’. Gelaran yang paling benci didengarnya.

Rombongan merisik akan datang! Penolakan Aimi Najwa dikenakan syarat oleh abah dan uminya untuk mengenali semula lelaki yang pernah menjadi teman zaman kanak-kanaknya. Cinta monyet yang pernah terjadi antara mereka dahulu. Siapa lagi kalau bukan si chubby Bobo atau nama penuhnya Shahabudin!

Cinta itu hadirnya tanpa diundang. Datangnya tanpa diduga. Itulah yang terjadi kepada Aimi Najwa. Dia senang dengan sikap penyayang yang ditonjolkan Shahabudin. Tanpa sedar ada perasaan yang ‘bertamu’ di hatinya untuk Syed Ashraf. Dua lelaki yang berlainan watak. Namun sikap kedua-dua lelaki ini yang sama membuatkan dia keliru. Kedua-duanya berjiwa lembut dan penyayang.

Dalam resah hati terpaut. Dalam benci ada cinta. Sukar untuk Aimi Najwa menerima kenyataan yang terbongkar. Semakin dia menjauhi insan yang menyintainya, hatinya mula disirami rasa rindu. Diundang pula dengan rasa cemburu terhadap Tengku Elisa yang semakin rapat dengan insan yang telah melukai hatinya.

Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta? Siapa yang Aimi Najwa cintai? Siapa yang harus dia pilih? Shahabudin atau Syed Ashraf?


Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters