Thursday, July 3, 2014

Novel terbitan karyaseni / penulisan2u julai 2014



Tajuk : Membakar Syurga,Mengguyur Neraka
Penulis : Hana Ilhami 
Penerbit : Penerbit Karyaseni 

Sinopsis :
NAJIHA... Demi merealisasikan hasrat dan menggembirakan Dona, dia menghubungi Rahul yang membawa diri ke Amerika selama tiga tahun. Demi kebahagiaan sahabatnya yang beragama Hindu itu, dia memujuk Rahul agar pulang ke pangkuan keluarga. Namun, siapa sangka niatnya menghubungi Rahul membawa episod baru dalam hidup Rahul.

“Kalau saya tahu hidup saya akan terganggu macam ni, tak ingin saya hubungi awak dulu.” - NAJIHA

“From now on, I'll be your disturbing stranger, Jiha.” - RAHUL

RAHUL... Kepulangan Rahul menggembirakan seisi keluarga Dona tetapi tidak bagi Najiha. Hidupnya menjadi huru-hara setelah Rahul mengetahui Dona bukan sekadar merahsiakan tentang penyakitnya, tapi Dona mempunyai rahsia yang lebih besar daripada itu. Dona mahu memeluk agama Islam. Siapa lagi yang harus dipersalahkan selain sahabat baik adiknya, Najiha?

Perdebatan dan kesangsian Rahul terhadap Najiha luntur sedikit demi sedikit melalui penerangan dan sikap Najiha. Baginya, Najiha lain berbanding dengan perempuan beragama Islam yang pernah dicintainya suatu ketika dulu. Hatinya mula tertarik.

Tapi lain pula bagi Najiha. Cita rasanya cuma kepada lelaki gred A yang tahu menghormatinya. Dan syarat utama mesti Islam! Namun pada yang sama, Dona turut membuat permintaan.

“Kalau aku minta kau mengguyur neraka seseorang? Kau sudi tak?” - DONA

“Neraka siapa pula kau nak aku guyur ni?” - NAJIHA

“Rahul...” - DONA

Kehadiran Hadi, lelaki misteri yang mempunyai kecelaruan naluri turut menambahkan rasa dalam hatinya. Kehadiran Hadi yang muncul tiba-tiba membawa kesan terhadap perjuanganya.

“Sudikah kau mengguyur nerakaku?” – HADI

Demi sahabat dunia dan akhiratnya, haruskah Najiha memadamkan perasaannya terhadap lelaki gred A yang selama ini begitu didambakan? Bagaimana bila benci bertukar cinta? Mampukah Najiha menepisnya? Bila tiba-tiba lelaki songsang mahu menagih cinta, perlukah Najiha membuktikan jihadnya? Antara lelaki gred A, lelaki musyrik dan lelaki songsang... siapa sebenarnya yang bertakhta dalam hatinya?


Tajuk : Hati Bertanya...Siapa Kamu?
Penulis : Lisa Muhamad 
Penerbit : Penerbit Karyaseni 

Sinopsis:
DAYANGKU INARA seorang gadis yang lari dari sebuah pernikahan! Lelaki yang dijodohkan dengannya bukan atas dasar pilihan sendiri. Kenal pun tidak! Dia menolak, ayahnya menerima. Dia tak suka, ayahnya berkenan! Apa pilihan yang dia ada? Nikah dan larilah! Seusai akad nikah, sebelum sempat menatap wajah suaminya, Dayangku Inara cabut lari...

“Siapa awak?” - DAYANGKU INARA

“Nama saya Gibran.” - GIBRAN EMIR

“Geram?” - DAYANGKU INARA

“Bukan geram, bukan gabra dan bukan juga gemuruh. Nama saya Gibran.” - GIBRAN EMIR

Satu kemalangan kecil menemukan Dayangku Inara dengan Gibran Emir. Namun sayang, si isteri tidak kenal si suami... Gibran muncul sebagai teman rapat abangnya. Sengaja disembunyikan status agar mereka dapat mengenali diri masing-masing.

“Awak kenal dengan lelaki tu?” - DAYANGKU INARA

“Siapa? Suami awak? Saya tak kenal dengan dia. Tapi, saya kesian dengan dia. Kesian sebab digantung tak bertali... Tak baik awak buat anak teruna orang macam tu...” - GIBRAN EMIR

Kerana suaminya itu, musnah impian dan masa depannya! Tanpa diduga, dalam satu pertemuan kecil di rumah Gibran, semua rahsia terbongkar pada saat Dayang membelek sebuah album perkahwinan. Cukup dengan hanya melihat pada helaian pertama, jemari dan matanya kaku di situ... Hati yang tertanya-tanya siapa suaminya terjawab!

“Awak penipu! Kaki putar alam, kaki kelentong!”

“Dayang… Gib memang bercadang nak berterus-terang dengan Dayang… Nak bagi tahu pasal kita…”

Ternyata Gibran tersalah langkah dalam misi memikat hati si isteri. Penipuan pertama mungkin boleh dimaafkan. Penipuan kedua? Diberi peluang lagi atau ditinggalkan? Mampukah Gibran Emir selamatkan rumah tangga mereka? 


Tajuk : Muhasabah Cintaku
Penulis : Qaula Safiyyah 
Penerbit : Penulisan2u 

Sinopsis :
MEMANG Haziq tak sangka yang dia akan bertemu lagi dengan Hajira, perempuan garang yang pernah menyerang sahabatnya, Syafiq di ofis itu dulu.

“Ops... Sorry, tak sengaja.”

“Awak ni kan… Memang sengaja nak langgar saya, kan? Saya tahulah saya ni handsome. Perempuan... memang macam tu la, nak dapatkan perhatian lelaki.”

“Eh, eh awak ni, saya dah minta maaf, kan? Awak handsome? Saya rasalah kan... kambing belakang rumah mak ngah saya lagi handsome kut. Dasar lelaki perasantan.”

Hajira juga mula kurang senang dengan Haziq. Asalnya dia bergaduh dengan Syafiq sahaja, tup-tup, Haziq juga masuk campur dengan tiba-tiba merenung dan menjeling dia tanda tak puas hati. Siapa yang tak sakit hati?

Atas niat jahat Syafiq yang berpaksikan dendam lama, rancangan rapi diatur. Dia mahu Hajira hidup sengsara bersama orang yang dia benci dan juga membencinya. Sasarannya… Haziq!

“Dia tu pantang sikit kalau jumpa orang kaya ni, lebih kurang macam perempuan pisau cukur.”– Syafiq

Kerana fitnah, dua manusia yang saling tidak menyukai itu disatukan. Maruah Hajira rabak saat tiada siapa pun mempercayainya. Haziq yang sedia diracuni dengan kata-kata Syafiq, langsung tidak memberi ruang kepada hatinya untuk mencintai Hajira. Otaknya seperti telah diprogram, Hajira hanya inginkan hartanya. Namun hatinya berkata… “Kalau Hajira tak seburuk yang disangkakan, pasti aku akan mencintainya sepenuh hati.”

Bagi Hajira pula, dia telah berjanji kepada diri yang dia akan cuba belajar mencintai Haziq walau tidak dihargai oleh Haziq. Dia mahu menjadi isteri yang solehah... Menjaga maruah agama.

Begitu nekadnya dia, namun akhirnya sabarnya yang menggunung, kasih yang tulus buat Haziq terpaksa dipendamkan apabila Maisarah, bekas tunang Haziq muncul…

“Hajira... Saya sanggup bermadu dengan awak. Saya betul-betul sayangkan Haziq. - Maisarah

Rupa-rupanya, dialah punca hubungan Haziq dan Maisarah terkubur. Maisarah dengan rela hati memohon menjadi isteri kedua. Lalu … Saat fitnah itu terungkai, Hajira telah pergi dan tiada siapa tahu di mana dia berada. Saat itu barulah Haziq mengetahui bahawa Hajira ialah pengasas kepada Vila Kasih dan Teratak Kasih. Mana mungkin insan semulia itu ingin mengikis hartanya.

Mungkinkah hati merindui Dia saat hati hampa dan kecewa? Ke manakah Hajira bermuhasabah cintanya kepada Ilahi? 


Tajuk : Tika Hati Ini Berbicara 

Penulis : Gee Muszisya
Penerbit : Penulisan2u 

Sinopsis :
ARIEF HAKIMI, kali pertama menatap wajah itu gerak hatinya berdetik sesuatu. Dia mula mengayam angan untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat. Namun, keadaan memaksa untuk dia melupakan hasratnya itu. Juga melupakan janjinya kepada seseorang.

QASEH QALESYA, gadis yang berjaya mencuri hati Arief Hakimi. Namun, tiada siapa yang menduga keperitan dan duka yang dilaluinya. Derita hidup bersama keluarga tiri yang terlalu membencinya hanya mampu dipendam sendirian. 

“Awak...” – Qaseh.

“Sampai bila nak merajuk dengan abang ni?” – Arief.

“Mana ada merajuk...” – Qaseh.

“Habis tu kenapa nak berawak-awak lagi dengan abang? Dah sedap-sedap panggil abang hari tu. Sayang kena ingat perjanjian kita... Denda tetap kena denda, ya.” – Arief.

“Siapa yang cari pasal dulu? Boleh tak lepaskan Qaseh? Budak-budak tu pandang kita la...” – Qaseh.

“Nope, kalau sayang terus merajuk dengan abang. I won’t let you go...” – Arief.

“Jangan nak mengada-ada kat atas tangga ni boleh tak?” – Qaseh.

Untuk memiliki Qaseh, Arief perlu merahsiakan masa silamnya dan janjinya kepada seseorang yang perlu ditunaikan. Namun tanpa diduga, rahsia yang selama ini tersimpan akhirnya terbongkar dan membuatkan perasaan benci bersemai dalam hati orang yang dicintai.

“Apa lagi yang abang rahsiakan daripada Qaseh?” – Qaseh.

“Qaseh, dengar dulu.” – Arief.

“Tidak! Qaseh tidak mahu dengar apa-apa lagi penjelasan. Cukuplah abang tipu Qaseh selama ini. Hati Qaseh dah cukup terluka.” – Qaseh.

“Maafkan abang...” – Arief.

Tanpa diduga rahsia yang selama ini tersimpan akhirnya terbongkar menyemai perasaan benci dalam hati Qaseh terhadap Arief.

Rahsia apakah yang Arief cuba sembunyikan? Mungkinkah perpisahan pengakhiran perhubungan mereka? 





Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters