Friday, March 20, 2015

Novel terbitan buku prima bulan april 2015



Tajuk: BUKAN ‘TASTE’ AKU 
Penulis: Syikin Zainal
Terbitan: Buku Prima

Sinopsis:
Irdina dan Zafri, ibarat anjing dan kucing. Pantang bersua muka. Ada sahaja perkara yang mahu ditelagahkan. Makin cuba menjauh, makin ia dekat. Namun, dekat itu tidak mendatangkan apa-apa. Perang tetap perang.

Namun, kuasa ALLAH, siapa yang mampu menghalang. Saat perang terus dilancar, ada satu kejadian yang buat Irdina memberi perspektif baru tentang Zafri. Dan Zafri, mula nampak bahagian putih milik Irdina. Mulut cuba menafikan, tapi hati, sudah saling terpaut. Sehari tidak dilihat bayang orang yang mula bertempat di hati, seharian menjadi sasau.

Zafri terus memasang angan. Irdina akan menjadi suri hatinya. Irdina pula mula mengimpikan. Zafri mahu dijadikan imamnya. Namun, ia semua hanya disimpan dalam hati. Tidak ada siapa antara mereka yang berani menyuarakan. Sehingga satu saat, Irdina mahu ditunangkan. Hati Zafri mula menjadi rawan. Tekad mula dipasang. Irdina hanya miliknya.

Mampukah Zafri mempertahankan Irdina untuk menjadi suri hatinya? Mahukah Irdina ditunangkan dengan orang yang tidak dicintainya? Mampukah hubungan yang pada awalnya bagai anjing dan kucing, menjadi hubungan yang disulami kasih dan sayang?

“Tak sangka, okey juga orangnya. Sanggup nak tolong aku. Selama ni aku ingatkan dia ni berlagak, sombong, tak ada hati perut. Nampaknya, aku kena minta maaflah dengan mamat ni.” – Irdina

“Gila! Dia bukan taste akulah.” – Zafri


Tajuk: ROH RUMAH SEWA
Penulis: Naim Tamdjis
Terbitan: Buku Prima

Sinopsis:
Rafael, seorang guru muda yang ditugaskan di kawasan pedalaman Perak. Papanya lebih suka Rafael bekerja dengannya, tetapi Rafael tetap berdegil mahu bertugas di SK Kampung Pulai Manis yang terpencil terletak sejam perjalanan dari pekan Gerik. Rafael tidak ada pilihan lain, dia terpaksa menyewa sebuah rumah yang mempunyai reka bentuk pelik. Tanpa sedar, Rafael telah membangkitkan makhluk yang telah lama menghuni rumah itu. Makhluk itu telah dipasung selama 150 tahun. Sejak hari pertama Rafael tinggal di situ, pelbagai perkara pelik dan mistik terjadi ke atas dirinya dan penduduk kampung. Misteri dan sejarah mula terungkai satu per satu sehingga melibatkan nyawa! 


Tajuk: TARANTULA
Penulis: Julie Jasmin
Terbitan: Buku Prima

Sinopsis:
Kampung Nilam Setia yang dulu aman damai, kini telah bertukar menjadi padang jarak, padang terkukur. Mayat bergelimpangan. Binatang ternakan habis mati. Bau darah hamis mengalir di sana sini. Tidak seorang pun yang berani keluar untuk menyelamatkan mereka. Dibiarkan mayat itu dibaham oleh serangga yang tidak diketahui dari mana asal usulnya. Setiap kali waktu malam menjelma, penduduk-penduduk Kampung Nilam Setia akan dihantui perasaan takut. Bahaya berada di mana-mana kalau tersilap langkah. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa. Semuanya bermula dari Hutan Nilam Setia hingga merebak ke kampung kediaman.Keadaan ini amat merunsingkan Pak Aki, ketua Kampung Nilam Setia. Sudah banyak kejadian buruk berlaku. Baru-baru ini, empat orang pemuda telah membuat penyelildikan tentang tumbuh-tumbuhan pelik di Hutan Nilam Setia dan sehingga hari ini tidak keluar-keluar. Mak Jenab, bidan Kampung Nilam Setia turut menjadi mangsa. Binatang-binatang ternakan Pak Salleh juga. Malah, Halimah isteri Sidek turut terkorban di subuh hari. Serangga apakah yang menyerang sebenarnya? Hingga tidak meninggalkan kesan. Habis dibahamnya hingga ke tulang. Hmm… apa ya? Adakah disebabkan sumpahan? Ataupun ada benda lain yang kita tidak tahu? Semuanya akan terjawab dalam novel ini.


TajuK: ISTERIKU 120 KG 
Penulis: Siti Nur Dhuha
Terbitan: Buku Prima

Sinopsis:
INI wasiat yang paling gila dan tidak masuk akal! Itulah yang bermain dalam fikiran Aiman Zafril apabila Nenek Masyitah mahu dia berkahwin dengan Nelydia yang gemuk dan tiada apa-apa keistimewaan. Dia tiada pilihan. Perlu berkahwin jika mahu harta menjadi miliknya. Setelah bergelar suami kepada Nelydia seberat 120 kg itu, Nenek Masyitah membuat onar lagi. Mahukan cicit! Jika tidak, jangan harap Nenek Masyitah akan memberikan harta. 

Gelap hitam dunia Aiman Zafril. Bagaimana dia mahu menyentuh Nelydia sedangkan melihat wanita itu sahaja tekaknya sudah loya? Nenek Masyitah pula makin hari makin mendesak mahukan cicit. Ah, bingung jadinya! Tetapi lain pula bagi pihak Nelydia yang berasa cukup bertuah kerana dapat menjadi isteri kepada lelaki kacak dan kaya seperti Aiman Zafril. Namun, sukar sekali untuk membuatkan Aiman Zafril jatuh hati kepadanya. 

Untuk terus menjadi isteri Aiman Zafril demi mengecap kemewahan, Nelydia perlu memberikan zuriat buat lelaki itu. Nelydia buntu dan keliru. Perlukah Nelydia berkorban sejauh itu?

“Awak fikir saya mintak dengan TUHAN ke lahir sebagai perempuan gemuk yang tak cantik? Tak! Saya tak mintak, tapi nilah takdir saya. Nilah takdir saya!” – Nelydia

“Harta nenek tu, memang takkan jadi milik Aiman selagi Aiman tak bagi cicit kepada nenek. Nenek nak cicit daripada Neli. Bukan daripada perempuan lain. Ingat tu.” – Shahaikal

“Tak, abang tak bohong. Neli tak hodoh. Cuma Neli gemuk sikit aje daripada anak gajah, yang ni abang jujur. Neli jangan sedih ya.” – Aiman Zafril 


Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters