Thursday, December 5, 2013

Novel terbitan Elee Mardiana Publication Disember 2013





Tajuk : Kabus Rindu 
Penulis : Monalita Mansor 
Terbitan : EMP

Sinopsis :

Zaweeya terdampar di sebuah mukim mimpi yang mematangkannya. Satu per satu peristiwa yang terjadi, membibitkan rindu dalam samar. Menambah keliru, rindu yang mekar rupanya menjadi rebutan sehingga membuahkan dendam. 

Wafi merasakan keanehan menyelubungi dirinya semenjak peristiwa di Masjid Kuala Dulang; peristiwa di mana Zaweeya menyerunya sebagai Indera Laksamana. Terasa dirinya sehebat Hang Tuah. Keanehan itu telah membuahkan kasih terhadap Zaweeya. 

“Lebih berdosa kalau mencuri. Lebih-lebih lagi mencuri hati.” ~ Wafi 

“Bukan saya sengajakan.” ~ Zaweeya

“Boleh saya minta sepotong hati awak sebagai hukumannya?” - Wafi. 


Judul: Kerdipan Bintang Cinta 
Penulis: Yumi Zinnita 
Penerbit: Elee Mardiana Publication 

Sinopsis :
Peristiwa hitam yang berlaku dalam hidup membuatkan Danisya menanggung penderitaan melawan kemurungan selama tiga tahun. Selama tiga tahun itu jugalah, Danisya dihantar berubat sehinggalah semangatnya yang telah lama hilang pulih semula. Lalu, keputusan untuk menyambung pelajaran yang tertangguh terus disuarakan.

Sejak mula belajar, Danisya belajar erti berkawan dan bergaul dengan rakan sekeliling. Perkenalan dengan Izdham, lelaki penjaga kaunter kafe di kampus telah membawa Danisya untuk lebih mengenali warna-warni kehidupan. Semakin hari, Izdham semakin pandai mengambil hati hingga tanpa sedar, cinta mula bersemi antara mereka.

Lamaran dihulur Izdham sebagai bukti cinta yang ingin disimpul mati. Danisya pula menerima meski usia masih terlalu muda dan mentah. Namun, bahagia yang didamba seolah-olah terhenti di tengah jalan apabila rahsia yang dipendam Izdham selama ini terbongkar. Danisya cuba menerima, namun hatinya tidak sekuat yang disangka. Izdham pula semakin lelah memohon kemaafan yang ternyata memang bukan untuknya. Lalu, masih mampukah cinta yang ada memberi peluang kepada mereka berdua untuk mencuba sekali lagi? 


Judul: Suami Terhangat
Penulis: Rafina Abdullah
Penerbit: Elee Mardiana Publication


Sinopsis :
Menjadi seorang suami dengan memiliki pakej lengkap dari segi rupa paras, kedudukan dan kewangan yang kukuh, jalannya tidaklah mudah bagi Idzmir Damien. Dia yang sudah berkahwin dengan Nurshila dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Puteri Felisha, sering menjadi perhatian wanita-wanita lain yang berkeinginan mahu berdampingan dengannya.

Di tempat kerja, Idzmir menjalinkan hubungan sulit dengan Aiza yang memegang jawatan sebagai setiausahanya. Namun, pada waktu yang sama dia begitu menyayangi Nurshila dan anak perempuannya yang dipanggil ‘Uyi’. Setiap kali dia berhadapan dengan Nurshila, setiap kali itulah perasaan bersalah mula beraja di hati.

Tetapi, Idzmir tidak seperti lelaki lain yang lebih menjurus tidak mempedulikan keluarga apabila mempunyai hubungan dengan wanita lain. Sebaliknya, dia lebih cenderung mengutamakan Nurshila dan Puteri Felisha dalam segala hal sehingga kadang-kadang dia mengabaikan Aiza. Cintanya kepada Aiza bukannya tidak ikhlas malah dia berniat mahu menjadikan gadis itu sebagai isteri keduanya.

Namun, siapa sangka. Keadaan menjadi sebaliknya apabila Allah yang lebih berkuasa sudah merencanakan sesuatu. Dijauhkan Idzmir daripada Aiza apabila Nurshila mula menghidu kecurangan suaminya. Di sebabkan perkara itu, Idzmir mengambil keputusan untuk melupakan Aiza dengan menidakkan perasaan cintanya terhadap gadis itu kerana lebih mengutamakan Nurshila dan Uyi.

Pelbagai isu yang cuba diketengahkan penulis di dalam naskhah ini. Berbagai konflik, emosi suka dan duka terkandung di dalamnya. Babak komedi dan romantis tidak dilupakan oleh penulis dan tidak terkecuali adegan thriller juga dimuatkan di dalam karya ini. Boleh dikatakan, kisah ini mengandungi seribu perencah yang boleh membuatkan anda tersenyum, ketawa dan bersedih. Di awal-awal cerita, pembaca akan membenci Idzmir tetapi pada akhirnya.... pembaca akan temui sesuatu dalam watak Idzmir itu sendiri. 



Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters