Sunday, February 8, 2015

Novel terbitan fajar pakeer bulan februari 2015





TAJUK: KAU ADALAH DIA
PENULIS: EZDIANI ABD RAHMAN 
ISBN: 978-967-365-224-2

“Hidup dan mati Lia cuma untuk suami Lia. Sampai bila-bila pun, diri Lia hanya untuk suami. Bukan untuk orang lain.” - Marlia Atikah

Hingga ke saat ini, hatinya masih tertutup untuk mana-mana lelaki. Hingga ke saat ini, dia masih tidak dapat menerima ketentuan yang ditakdirkan untuknya. Baginya arwah suaminya akan terus sentiasa hidup dalam hati. Hanya lelaki itu dia akan cinta.

“Awak jangan gunakan Lisa sebagai alat untuk awak dekati saya, Irfan. Saya tak suka!”
“Saya langsung tak ambil kesempatan. Saya langsung tak berniat seperti yang awak katakan, Lia. Saya ikhlas!”

Pertama kali bertemu Irfan Maliki, Marlia sangka lelaki itu adalah suaminya. Hatinya kuat mengatakan begitu. Tetapi, ia hanyalah satu kebetulan yang tidak pernah dipinta Marlia. Lelaki itu namanya serupa dan wajahnya sama dengan arwah suaminya, Irfan. Itu sahaja. Kenyataan harus diterima. Marlia telan kepahitan itu lalu dia kembali menjauhkan diri kerana tidak mahu menduakan rasa kasih kepada lelaki paling dia cinta.

Pertemuan demi pertemuan membibitkan rasa rindu. Hati berdetap rindu, hati mula bersulam sayang. Bukan ingin beralih kasih, tetapi Marlia kehausan kasih. Bayangan cinta lalu menghimpit perasaan. Hadirnya tanpa diundang, hadirnya memberi kasih sayang. Rasa bahagia itu, kembali berbunga di hati. Lalu dia jatuh cinta kepada Irfan Maliki. Lamaran kasih akhirnya diterima. Marlia ingin meniti hari bahagia bersama Irfan, namun di saat hatinya dicuri kasih, ada khabar yang membuatkan dia kembali rebah. Akhirnya dia akur dengan untuk mengundurkan diri. Kasih perlukan kejujuran, perlukan keikhlasan.

Apakah kesalahan Irfan Maliki hingga Marlia sanggup mengundurkan diri daripada meneruskan hubungan? Apakah perasaan kasih itu akan berganti sekali lagi kepada jejaka itu atau hatinya ditakdir terus menjadi milik arwah suaminya buat selama-lamanya?



TAJUK: DIA ISTERI PILIHAN
PENULIS: NURFAZA ALISYA 
ISBN: 978-967-365-223-5

“Maafkan saya Encik Reza. Saya bukanlah gadis yang terlalu baik untuk Encik Reza. Encik Reza tidak tahu masa silam saya. Eloklah rasanya Encik Reza cari pengganti lain, yang lebih elok daripada saya.” - Zara Natrah

“Siapa pun awak, buruk macam mana pun awak, saya tetap akan bahagiakan awak. Percayalah pada saya.” - Ameer Reza

Demi melindungi dirinya daripada kekejaman bapa saudara, akhirnya Zara Natrah menerima lamaran Ameer Reza. Dalam masa yang sama dia tetap berasa bersalah terhadap Sofura kerana Ameer Reza telah memutuskan pertunangan dengan gadis itu. Hancur remuk hati Sofura apabila Ameer Reza lebih memilih seorang gadis tukang cuci yang tidak berpelajaran tinggi berbanding dengannya.

Pertemuannya dengan Hafizi membuatkan jiwa Zara Natrah resah. Lelaki itu tahu masa silamnya. Dia bimbang rahsianya itu terbongkar, apatah lagi Hafizi adalah sahabat Sofura yang sentiasa mencari jalan menyingkirnya daripada hidup Ameer Reza.

Namun, masa silamnya terbongkar juga dan tanpa pengetahuan sesiapa, Zara Natrah telah disembunyikan oleh Ameer Reza di rumah yang dibelinya. Teruk Zara Natrah dikecam dan dicemuh oleh Ameer Reza tentang masa lampaunya. Hatinya disakiti dan dilukai suami sendiri. Namun, kerana dia adalah isteri pilihan Ameer Reza, suami yang mula dicintai, Zara Natrah tetap menerima dengan sabar.

Pertunangan semula antara Ameer Reza dan Sofura membuatkan Zara Natrah menangis. Namun, dia harus reda kerana dia adalah punca Sofura dan Ameer Reza putus tunang dahulu. Zara Natrah pasrah jika dia dimadu atau dicerai. Tapi, mampukah dia terus bertahan begini tanpa kasih sayang seorang suami dan ayah untuk anak yang bakal dilahirkan nanti?



TAJUK: SUAMIKU WORKAHOLIC
PENULIS: CIK SAKURA 
ISBN: 978-967-365-222-8

Anak Mak Cik Zara yang bernama Syazwan, workaholic orangnya. Siang, malam, pagi, petang, asyik kerja memanjang. Bila Dayah tahu bakal suami tanpa relanya ialah Encik Workaholic, dia kena bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Encik Workaholic itu calon terakhir keluarga. Baginya, lebih baik dapat orang yang mabuk kerja daripada mabuk perempuan! Jadi, kahwin ajelah.

“Kalau awak rasa saya tak sesuai hadir dalam hidup awak, beritahu awal-awal dan berterus terang. Tapi, jangan sekali burukkan saya depan keluarga awak semata-mata nak selamatkan diri awak nak elak perkahwinan ni!” – Dayah

Bila sudah kahwin, cabaran utamanya ialah sikap mabuk kerja si suami. Cemburu pun ada bila suami asyik layan kerja 24 jam seminggu. Bila sudah berbulan berkahwin, tapi tak ada progres, terpaksalah Dayah mulakan langkah kanan. Pikat hati dia! Mulalah tanya Pak Cik Google tip mengurat suami sendiri!

“Dayah, kau tahu tak, apa maknanya kalau seorang isteri bagi suaminya minum kopi malam-malam begini?” - Syazwan. 
“Tak boleh ke?” - Dayah 
“Kopi tongkat Ali?” - Syazwan 
“Jangan salah faham! Saya tengok awak macam banyak kerja jadi, saya bancuhlah kopi ni untuk awak. Kalau awak tak nak minum, biar saya minum.” – Dayah

Tatkala misi baru hendak berjalan dengan lancar, muncul pula makhluk perosak rumah tangga. Linda namanya. Tapi Dayah bukan perempuan yang lemah. Semua serangan Linda dia tepis dengan baik. Cuma sikap suaminya yang buat acuh tak acuh saja yang menggores perasaannya. Mampukah Dayah memikat suami sendiri? Apa hubungan Syazwan dengan Linda sehingga Syazwan tidak berani menolak setiap permintaan Linda? Bolehkah perkahwinan mereka bertahan? Suamiku workaholic... bila nak jadi romantik? 



Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters