Monday, November 25, 2013

Novel terbitan Lovenovel Publication Disember 2013



Tajuk: Bila Lagu Cinta Bergema
Penulis: Wardina Aisyah

Terbitan: 
Sinopsis:
Membesar tanpa kasih sayang ibu dan nenek kandungnya, hidup Balkish sering saja dihiasi dengan airmata. Hanya kepada Batrisya si kakak kandung, seluruh harapannya disandar. Namun tatkala rasa cinta di hati dikongsi dengan lelaki yang sama, Balkish terpaksa mengalah dan melepaskan cintanya demi sebuah pengorbanan.

Setelah bertahun masa berlalu, Balkish mula membina hidup yang lebih tenang di kota. Namun perkenalannya dengan Hariz yang digelar Mr. Alligator mula mencipta pelbagai warna dalam setiap harinya. Mr. Alligator memang bijak menggoda, tapi tidak pernah setia kepada satu cinta. Sungguh, Hariz memang layak disamakan dengan buaya!

“I rindu nak dengar suara you, wajah you, and everything about you. You buat I macam orang gila!” – Harriz

Segila-gila sikap Hariz, Balkish lebih tertekan dengan permintaan gila ibunya. Dia didesak supaya berkahwin secepat mungkin demi kebahagiaan rumahtangga kakaknya. Si ibu bimbang jika ada cinta lama berputik semula. Tapi dengan siapa dia mahu berkahwin jika calonnya langsung tiada?

Namun tanpa Balkish sedari, ada cinta di hati kukuh terpatri. Kali ini bukan mainan, bukan kosongnya omongan, tapi sebuah perasaan nyata yang dipenuhi rasa cinta!

“Tak ada yang mustahil, Balkish. I benar-benar cintakan you. I nak kahwin dengan you. Kalau you tak cintakan I… you boleh belajar untuk menyintai I. Kita kahwin ye?” - Harriz

Dalam keadaan serba salah, tertekan dan terdesak, akhirnya Balkish bersetuju mengahwini Mr. Alligator yang tidak pernah tersenarai sebagai calon lelaki idamannya. Biarpun berkahwin tanpa cinta, namun Balkish tetap mengajar dirinya mencintai si suami seadanya. Namun badai rumahtangga melanda apabila dia menjadi kebencian si ibu mertua dan adik iparnya sendiri. Kehadiran Syarifah Ezora juga semakin menyukarkan langkah kaki Balkish yang ingin mengejar bahagia. Mampukah Balkish terus tabah melalui satu persatu dugaan demi sebuah cinta yang baru terbina? Dan bila lagu cinta bergema, masihkah dia mampu tersenyum bahagia

*******


Tajuk: Tirai Dosa Kelmarin
Penulis: Arsha Wee
Terbitan: Penerbitan Lovenovel Publication

Sinopsis:
Nur Imanina - Lembut pada wajah tetapi bukan pada hatinya. Titik hitam yang tertinggal menyebabkan dia menjadi wanita degil, penuh dengan rasa dendam dan benci. Kehancuran hidup gara-gara perbuatan lelaki yang begitu dipercayai meletakkan Nur Imanina di jalan yang cukup kelam. 

Namun perkenalan dengan si kecil Zarif Aimin mengubah langkah kakinya. Terbit rasa kasih, terbina juga rasa sayang yang amat mendalam. Kasih sayang yang bertaut dengan Zarif Aimin akhirnya menemukan dirinya dengan Iman Faliq yang kelihatan serba sempurna. 

Iman Faliq – Biarpun mempunyai paras rupa yang sempurna, namun hati menggenggam erat kekesalan akibat dosa yang pernah dia lakukan di masa lampau. Dan kerana dosa kelmarin, ketenangan hidupnya sudah lama terhenti. Demi sebuah kemaafan dan keampunan, kini dia tercari-cari empunya diri yang pernah diragut kebahagiaannya.

Kemunculan Nur Imanina yang lembut dan penuh kasih mula meruntun sanubari. Namun sebuah kenyataan maha hebat menyentak seluruh perasaannya, Nur Imanina adalah wanita yang pernah dianiaya suatu waktu dahulu! Jadi sekarang, layakkah dia melutut dan merayu demi sebuah keampunan? Dia inginkan kedamaian, inginkan masa depan yang lebih indah bersama insan yang pernah dia lukai, namun hati Nur Imanina begitu keras untuk dimiliki.

“Kalau saya tak nak, apa awak boleh buat?” – Nur Imanina
“Saya akan pastikan, takkan ada lelaki lain yang boleh kahwin dengan awak selain saya!” – Iman Faliq

Namun takdir Allah mengatasi setiap percaturan manusia, akhirnya Nur Imanina dan Iman Faliq bersatu sebagai suami isteri yang sah. Tanpa jemu Iman Faliq cuba meraih kemaafan si isteri, dan dia berusaha menjadi suami yang baik demi membahagiakan Nur Imanina yang pernah dilukainya.
Namun cukupkah beribu-ribu kasih sayang yang dicurah oleh Iman Faliq terhadap Nur Imanina? Dan mampukah terhapus dosa kelmarin tatkala ada hati yang masih terluka?




Sudah baca Harap balas ye. Love you more.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
free counters